Zizan Razak 'menang besar' di Anugerah MeleTOP ERA

Zizan Razak 'menang besar' di Anugerah MeleTOP ERA

9 Feb – Pengacara dan pelawak Zizan Razak dan penyanyi Hafiz Suip adalah antara selebriti yang diraikan sebagai pemenang di Anugerah MeleTOP ERA 2013 (AME 2013) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil semalam.

Zizan, 29, telah berjaya memenangi wang tunai keseluruhan berjumlah RM35,000 berserta trofi menerusi kategori Fesyen MeleTOP dan Bintang Siber MeleTOP dimana dia menerima wang tunai RM5,000 dan trofi setiap satu.

Manakala untuk kategori Top Top MeleTOP (Lelaki), dia menerima wang tunai RM10,000 berserta trofi dan untuk Anugerah WeChat MeleTOP, dia telah mendapat RM15,000.

Sementara itu Hafiz Suip pula berjaya memenangi tiga anugerah iaitu untuk kategori Grup/Duo MeleTOP menerusi gandingannya bersama Datuk Siti Nurhaliza, Lagu MeleTOP ("Bahagiamu Deritaku") dan juga Penyanyi MeleTOP.

Secara keseluruhan, Hafiz berjaya memperolehi wang tunai berjumlah RM15,000 dan juga trofi.

Aktres drama bersiri "Love You Mr. Arrogant", Zara Zya pula menerima RM15,000 secara keseluruhan dan trofi selepas memenangi kategori Top Top MeleTOP (Wanita) dan Artis Baru MeleTOP.

Filem arahan Syamsul Yusof, "KL Gangster 2" telah berjaya memenangi kategori Filem MeleTOP.

Manakala aktor Aaron Aziz dinobatkan sebagai Bintang Filem MeleTOP menerusi lakonannya dalam filem yang sama.

Pelawak Nabil Ahmad turut memenangi dua kategori iaitu Penyampai Baru Radio MeleTOP di Era FM dan juga Couple MeleTOP bersama isterinya, Nazirah.

Anugerah ini merupakan sebuah acara pengiktirafan karya kreatif penggiat seni hiburan tanah air yang merangkumi bidang radio, televisyen, muzik, filem dan digital.

Ia merupakan gandingan program "MeleTOP" di Astro Ria dan stesen radio Era FM dimana pemilihan pemenang telah dilakukan menerusi undian secara dalam talian.

AME 2013 telah diacarakan oleh Datuk AC Mizal, Nabil Ahmad dan juga Neelofa.

Dalam acara tersebut, penonton telah dihiburkan dengan persembahan daripada Datuk Hattan, Najwa Latif, Awi Rafael, Altimet, Hazama, Stacy, Hafiz Suip dan juga Cakra Khan.

Berikut adalah senarai penuh barisan pemenang AME 2013.

Top Top MeleTOP (Lelaki): Zizan Razak
Top Top MeleTOP (Wanita): Zara Zya
Lagu MeleTOP: "Bahagiamu Deritaku" (Hafiz Suip)
Penyanyi MeleTOP: Hafiz Suip
Grup/Duo MeleTOP: Hafiz Suip & Datuk Siti Nurhaliza
Penyampai Baru Radio MeleTOP: Nabil (Era FM)
Program Radio MeleTOP: Johara Pagi Era
Filem MeleTOP: "KL Gangster 2"
Bintang Filem MeleTOP: Aaron Aziz ("KL Gangster 2")
Program TV MeleTOP: "Maharaja Lawak Mega 2012"
Bintang TV MeleTOP: Jepp Sepahtu ("Super Spontan 2013")
Bintang Siber MeleTOP: Zizan Razak
Artis Baru MeleTOP: Zara Zya
Fesyen MeleTOP: Zizan Razak
Couple MeleTOP: Nabil Ahmad & Nazirah
Artis Serantau MeleTOP: Sleeq
Artis WeChat MeleTOP: Zizan Razak