Penjara 15 tahun jika hina Jalur Gemilang

Anggota PDRM sedia ditempatkan ke Jakim sebagai polis Syariah

Pindaan yang ingin dibuat terhadap Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun termasuk didenda sekiranya ada individu yang menghina Jalur Gemilang.

Peruntukan pindaan yang ingin memasukkan Seksyen 12 E dalam Kanun Keseksaan yang dibacakan untuk kali pertama di Parlimen hari ini turut memberi peruntukan sama terhadap penggunaan logo atau simbol yang berlainan selain bendera bagi memperkenalkan negara.

"Mana-mana pihak yang cuba menukar, mengubahsuai, mengoyak, membakar, atau meletakkan, mempersoalkan untuk menghina sebarang logo nasional atau bendera, atau negara lain boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 15 tahun, dan juga boleh didenda," kata pindaan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini membacakan untuk kali pertama pindaan untuk Kanun Keseksaan termasuk 10 akta lain beserta Akta Kesalahan Jenayah.

Beberapa aktivis seperti Adam Adli Abdul Halim, Hishamuddin Rais dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said telah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung tindakan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya ketika sambutan ambang Kemerdekaan lalu.

Ketiga-tiga mereka ditahan disoal siasat di bawah Akta Hasutan 1948. – 25 September, 2013.