Gayakan cermin mata anda mengikut bentuk wajah

Gayakan cermin mata anda mengikut bentuk wajah

Cermin mata bukan sahaja membantu melindungi mata anda daripada cahaya matahari dan membuatkan anda melihat dengan lebih jelas, ia juga turut menjadikan penampilan anda lebih menyerlah.

Namun memilih cermin mata yang sesuai dengan bentuk wajah anda boleh menimbulkan masalah. Oleh itu di sini kami kongsikan beberapa tips mudah untuk mencari cermin mata yang boleh anda rujuk sebelum membeli.

BENTUK WAJAH BULAT
Bagi yang mempunyai bentuk wajah bulat seperti aktres Michelle Williams, pilih bingkai berbentuk persegi atau jenis wayfarer. Garisan sudut pada bingkai akan mengimbangi bentuk bulat wajah anda dan menambahkan definisi. Elak daripada memilih bingkai yang menyamai bentuk wajah anda lebih-lebih lagi kepada mereka yang bertubuh kecil kerana anda akan kelihatan lebih bulat pada bahagian wajah.

BENTUK WAJAH PERSEGI
Seperti bentuk wajah bulat yang lebih sesuai memakai bingkai berbentuk persegi, begitu juga sebaliknya kepada mereka yang mempunyai wajah persegi. Anda boleh melembutkan bentuk wajah dengan memilih bingkai sudut melengkung atau bulat. Semakin besar muka anda, semakin besar bingkai cermin mata yang patut dipilih. Mereka yang mempunyai wajah persegi ini harus bijak memilih bingkai yang menjulur bahagian paling luas pada muka mereka. Elak memakai cermin mata persegi kerana anda memerlukan sesuatu untuk mengimbangi bentuk wajah anda dan bukannya membesar-besarkan ia.

WAJAH BERBENTUK HATI
Jika anda mempunyai bentuk wajah seperti aktres Scarlett Johansson iaitu berbentuk hati, anda harus memilih bingkai jenis aviator. Ini kerana anda tidak mahu memilih sesuatu yang kontras dengan bentuk wajah anda, tidak seperti wajah persegi atau bulat. Apa yang penting adalah, jika anda mempunyai ciri-ciri yang kecil dan lembut, elak memilih bingkai yang besar dan terlalu sarat. Namun jika wajah anda mempunyai ciri-ciri agak dramatik, bingkai besar adalah pilihan anda.

BENTUK WAJAH BUJUR
Anda sangat bertuah jika mempunyai bentuk wajah bujur seperti aktres jelita Eva Mendes kerana kebanyakan gaya bingkai bersesuaian dengan bentuk wajah ini. Anda boleh menggayakan cermin mata bentuk kucing (cat-eyes) atau bulat ala John Lennon. Walaubagaimanapun pastikan saiz yang dipilih sesuai dengan ciri-ciri wajah anda. Jika wajah anda kecil, elak memilih bingkai yang tebal dan besar kerana ia akan 'membanjiri' wajah anda serta pastikan tiada jurang besar antara wajah dan cermin mata anda. Pilih cermin mata yang sama besar atau luas dengan wajah anda.