AJL 28 tampil dengan tema 'Game On'

AJL 28 tampil dengan tema 'Game On'

8 Jan – Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL 28) bakal menggunakan konsep 'Game On' sebagai tema persembahan anugerah berprestij itu tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, konsep 'Game On' dipilih kerana dinamik pemuzik yang dipamerkan dalam menggerakkan industri muzik tanah air.

"Artis sentiasa bertenaga dan mampu membuat penyesuaian kerana trend muzik serta cita rasa pendengar sentiasa berubah. Menjadi matlamat kami memastikan AJL 28 terus diangkat sebagai acara berprestij dan pembuka tirai 2014," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Ahmad Izham lagi, elemen 'Game On' akan disertakan dengan grafik dan imej yang disusuli susunan muzik serta persembahan istimewa sebagai impak.

Sementara itu, AJL 28 tahun ini akan menyaksikan sedikit perubahan iaitu giliran persembahan peserta kali ini akan ditetapkan sendiri oleh penganjur berbanding pada tahun-tahun sebelum ini yang dilakukan mengikut cabutan undi.

"Pada kali ini kita telah menetapkan sendiri giliran persembahan artis dan tidak menggunakan sistem undian seperti tahun-tahun sebelum ini.

"Ini kerana banyak masalah akan timbul jika persembahan artis bertanding dibuat mengikut giliran melalui undian dan keadaan akan menjadi kelam kabut," kata penerbit AJL 28, Khalijah Mohamed.